Izinkan untuk saya berpesan-pesan ke atas diri saya sendiri, dan kalian yang sudi membaca,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Sesungguhnya Allah telah berfirman dalam Surat Al-Hujuraat ayat 10 : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak ( dari kaum lelaki ) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, ( kerana ) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik dari mereka, dan janganlah sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain , ( kerana ) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik dari mereka, dan janganlah setengah kamu mengatakan keaipan sesetengah yang lain; dan jangan kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…..”
Dewasa ini, memang tidak dapat dinafikan lagi, suhu scenario politik tempatan semakin bertambah hangat dan panas. Malahan, tampak semakin jelas dengan laporan akhbar, blog ,portal berita di internet, mahupun laporan berita di TV , pandangan dan sisipan telah menunjukkan “partisan-bias” yang serius , di mana “kiblat” mereka bergantung kepada mana-mana pihak yang paling berkuasa dalam organisasi tersebut , dalam menentukan agenda dan mesej politik yang perlu diterima oleh rakyat dan pengundi negara. Saya cukup yakin dan percaya, jika artikel ini diteliti dengan mendalam, dengan pemikiran yang jelas, tawaduk dan keikhlasan, maka ia dapat dinilai dengan kejujuran yang sejati. Namun yang demikian, saya cukup menjangkakan tuduhan liar, yang tidak masuk akal seperti, kufar, fasiq, di bayar, sesat mahupun islam liberal dan cubaan mempromosikan agenda pluralisme (walaupun yang sukar untuk kita nampak kaitannya) turut akan terbit daripada sesetengah golongan yang dibenarkan untuk memberi komentar di bawah.
Translasi ayat quran di atas merupakan panduan kepada pemerhatian kita. Saban hari kita dimomokkan dengan peri pentingnya kaitannya antara politik , agama dan bangsa. Malahan, tidak kurang juga sejak 2008, khutbah Jumaat telah menjadi medan percaturan politik, khutbah telah disisipkan dengan “agenda dan doa” sama ada mempertahankan Negara sehinggalah kepada menjatuhkan bala kepada pihak-pihak tertentu. Kadangkala kita menggeleng kepala, dan beristighfar sendirian. Terasa ingin beribadah, sewajarnya risau ibadah diterima, ditambah terpaksa melayan doa-doa imam yang bukannya meminta menolak bala, tetapi menurunkan pembalasan kepada mereka yang diwarwarkan sebagai kejam dan zalim.
Ini adalah penyakit “politik maki”. Saya tidak berapa pasti dengan pihak mana yang berpendapat bahawasanya, cara yang terbaik untuk merampas mahupun mengekalkan kerusi pilihanraya ialah dengan siapa yang lebih banyak dan hebat dalam bab memaki ,mencerca dan mencela. Strategi politik seperti ini bukan sahaja menyayat hati, tetapi meninggalkan noda dan titik hitam di jiwa. Cukup berbahaya untuk kesejahteraan Negara, kestabilan politik malahan meninggalkan imej dan persepsi yang buruk terhadap perjuangan Islam. Contoh yang terbaik dan simplistik ialah strategi melabel BN sebagai “Barang Naik”, “Ba#* Negara” mahupun PKR sebagai “Parti Kencing Rakyat”. Ini belum lagi ceramah jelajah di seluruh Negara menyebarkan cerita tentang Cincin 24 Juta dan isteri menteri. Taktik dan serangan seperti ini tiada kurang keji dan jijik dengan kegiatan menyebar VCD lucah yang didakwa melibatkan Ketua Umum parti. Namun, anugerah aktiviti politik yang paling melampau seharusnya dianugerahkan kepada pihak yang menganjurkan solat hajat berjemaah mendoakan agar penyokong parti lawan mati cepat supaya kurang undinya. Perbuatan seperti ini mungkin diinspirasikan oleh berikut : http://www.malaysiakini.com/news/152932 .
Krisis “Iman”
Acapkali jika kita sering bertandang ke forum dan wacana ilmiah yang dianjurkan oleh NGO dan “think-tank” yang tumbuh bagaikan cendawan, kita dapat lihat forum membincangkan tentang golongan-golongan yang berada dalam Parti berpanjikan Islam ini. Selain takbir yang sering kedengaran dari penyokong tegar, ibarat gamatnya seruan berjihad demi agama Allah, sering juga kita dipaparkan dengan golongan Erdogan dan golongan Ulama’ dalam kepimpinan parti tersebut. Buat mereka yang masih terpinga-pinga, golongan Erdogan dikatakan sebagai golongan professional dan ahli perniagaan yang menyelami politik Islam dan golongan Ulama’ ialah mereka yang pakar dalam hal-ehwal agama. Percaturan di antara dua belah pihak ini acapkali dinafikan oleh suara rasmi parti namun, kewujudan kontras dua golongan ini telah pun meniti di bibir-bibir pemerhati politik dan rakyat Malaysia yang peka dengan senario politik tanah air.
Hakikatnya benar kerana sebenarnya penyokong dan ahli parti tersebut terbahagi kepada 3 puak :
- ABU ( Anything but UMNO ) , UMNO ialah entiti kejahatan yang mesti diperangi dengan apa cara sekalipun dan jihad yang terbaik ialah dengan menyertai Pakatan Rakyat serta memperkukuh dan memperjuangkan apa sahaja yang diputuskan oleh parti-parti kompenen Pakatan Rakyat yang lain.
- Pejuang Syiar Islam yang percaya bahawa penubuhan Negara Islam dan perundangan ialah perintah Tuhan yang tidak wajar disangkal lagi. Dakwa mereka Sebarang sokongan, derma, tenaga ,usaha, dan masa bakal mendapat ganjaran yang sewajarnya di akhirat.
- Pendokong Aspirasi Allahyarham Burhanuddin Helmi dan Dato’ Asri, yang percaya bahawa kewujudan dan kekuatan PAS ialah penting demi memastikan kerajaan sentiasa saiga dan tidak meninggalkan agenda Islam demi kepentingan nasionalisme dan sekularisme. Survival Islam perlu sentiasa di perjuangkan agar akidah dan moral umat Melayu Islam Malaysia sentiasa di tahap yang baik.
Cukup menyedihkan ialah jumlah golongan ketiga dan pimpinan mereka amatlah sedikit, bahkan tidak terlalu jauh sekiranya dikatakan hampir pupus. Ramai intelektual muda yang menyertai parti telah dijual dengan poster aspirasi golongan c) namun akhirnya didedahkan dan dibasuh dengan cerita dan cereka penyelewengan di Malaysia sehinggakan mereka sama ada menjadi golongan A) atau B). Golongan C) ialah mereka yang memuliakan parti dan menjadikan akhlak sebagai senjata yang terbaik dalam “memerangi ketidakadilan dan kezaliman di luar sana”.
Golongan C ialah mereka yang diimpikan sebagai “check and balances”, namun tidak juga menolak kemungkinan berkemampuan untuk mentadbir Malaysia sebagai parti yang dominan, berteraskan moral dan akhlak yang mulia. Namun, ruang ini adalah mustahil dalam Pakatan Rakyat yang ternyata dalam Bajet Kesejateraan Rakyat 2012 dan Buku Jingga tidak kelihatan sebarang agenda islamik PAS. Bahkan beberapa pimpinan PAS sendiri pun tidak arif dengan janji-janji Buku Jingga. (Namun yang demikian, kritikan yang sama juga boleh ditujukan kepada sebilangan pimpinan UMNO yang masih terpinga-pinga dengan ETP, GTP dan PTP daripada Perdana Menteri). Bukti yang paling jelas, hakikatnya tuntutan royalti minyak di Kelantan tidak diketengahkan di dalam BajetPR tetapi masih diperjuangkan pimpinan utama PAS. Buku Jingga dan program 100 hari Pakatan Rakyat yang hanya di promosikan oleh satu parti kompenen sahaja menunjukkan bahawa PAS sukar bernafas malahan dilihat tidak berkebolehan memimpin PR. Tidak terlalu sukar untuk membayangkan kesulitan golongan (B) berkempen untuk parti politik DAP yang menentang pelaksanaan hukum hudud berhabis-habisan. Begitu juga dengan pemimpin PAS yang tidak ‘DAP-friendly’ dan tegas dalam menentang sebarang aktiviti tidak bermoral di negeri yang diperintah masing-masing telah disisihkan. Laungan menutup kilang arak dan judi ; bantahan konsert yahudi, penyebaran dakwaan gay yang bergema di negeri-negeri BN anehnya semakin senyap di Selangor dan hampir ‘non-existent’ di Pulau Pinang.Hipokrit? Tepuk dada ,Tanya selera.
Persepsi ini sewajarnya di diperbetulkan di media-media Parti baik melalui laman sosial seperti Twitter, FB dan media cetak seperti Harakah. Sudah terlalu banyak ruang diberikan untuk mencela isteri Perdana Menteri dan pemimpin parti yang tidak sehaluan dengan parti DAP. Retorik Negara Islam sudah semakin pudar dihakis ketidak-sediaan DAP dalam berkompromi, dan retorik Negara Kebajikan dilihat satu taktik mengalih perhatian dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam Pakatan. Dilema ini dibiarkan berlanjutan sehinggalah bergema krisis “iman” dalam keheningan.
Namun, selagi strategi masih berkiblatkan politik maki, tiada siapa yang bakal susah hati. Apa yang penting, cercaan dan celaan terhadap pimpinan kerajaan menyatukan semua cabang-cabang dan golongan dalam parti. Bila hilang kerusi lagi, baru lah jatuh terhantuk lagi.Bukankah itu motif parti, mahu dapatkan lebih kerusi? Tatkala ini, takbir bergema lagi. Seolah jihad masih panjang di sini. Tidak sedar apa yang dipertahankan, yang penting UMNO mesti dikuburkan. Agenda Islam ditolak tepi, bila tidak “convenient” lagi. Jangan harap keredhaan Ilahi.
Sesungguhnya Rasulullah pernah berpesan, jika sesat mencari identiti, kembalilah kepada Hadith dan Quran, Insya-allah kemenangan menanti untuk yang ikhlas di hati.
*Penulis hampir-hampir menyertai PAS pada awal 2011 sehinggalah ceramah politik berunusurkan fitnah membuatkan beliau merasakan agenda Transformasi Perdana Menteri dan Movement of Moderates ialah pilihan di hati. Kini aktif dalam NRC11 dan berharap agar dapat ditambah dengan tazkirah penyejuk hati.
**This piece is the personal opinion or view of the writer. The NRC11 does not endorse this view unless specified.
No comments:
Post a Comment